SEMINAR “RTM KINI INTERAKTIF” DI CORUS PARADISE, PORT DICKSON
TEKS UCAPAN YANG BERBAHAGIA DATUK RUSLAN ALI OMAR, PENGERUSI TELEVISION AIRTIME SERVICES SEMPENA UPACARA PENUTUP SEMINAR “RTM KINI INTERAKTIF” BERTEMPAT DI CORUS PARADISE HOTEL, PORT DICKSON 14 - 16 JULY 2006
Bismilahhirahmanirahim. Asalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh. Selamat pagi dan Salam Sejahtera diucapkan kepada
Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Rahman Hamid, Ketua Pengarah Penyiaran
Dato-Dato, ketua-ketua jabatan RTM, Dif-dif jemputan, Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Para Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.
Terlebih dahulu, sukalah saya melahirkan rasa penuh kesyukuran ke hadrat Allah swt kerana limpah kurnia dan izin-Nya, kita telah berjaya menamatkan seminar RTM Kini Interaktif dengan kerjasama semua pihak. Terima kasih kepada warga kerja RTM kerana meluangkan masa yang begitu berharga yang sepatutnya dihabiskan waktu bersama keluarga di hujung minggu ini. Kami amat berbesar hati dengan komitmen serta sokongan yang diberikan bagi menjayakan seminar “RTM Kini Interaktif” ini.
Saya selaku Pengerusi Television Airtime Services amat berbangga dengan keterbukaan dalam menerima sistem Interaktif SMS DAPAT sebagai salah satu saluran bagi orang ramai untuk berinteraksi dengan radio RTM. Ini sealiran dengan trend sekarang di mana informasi yang diperlukan setiap orang hendaklah mudah, cepat dan tepat dari segi penyampaian mesejnya.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,
Sepanjang 3 hari kita bersama diharap ilmu yang dikongsikan ini akan dapat memanfaatkan sepenuhnya oleh anda semua. Kebanyakan teknologi yang diperkenalkan sepanjang kita bersama adalah merupakan teknologi yang terkini dan masih belum lagi digunapakai oleh stesen radio di Malaysia malahan di dunia kerana kesemuan teknologi yang dihasilkan adalah hasil dari anak tempatan sendiri.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,
Kami berasa berbesar hati jika teknologi yang kami hasil digunapakai di dalam tugasan penyiaran seharian. Namun seperti juga teknologi yang diperkenalkan sebelum ini ianya kelihatan canggih hanya untuk jangkamasa yang singkat. Kemudian ianya akan lupus digantikan dengan teknologi baru yang mungkin tidak terfikir oleh kita pada masa itu tetapi iainya menjadi kebiasaan pada masa hadapan.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,
Teknologi tidak akan menunggu kita. Ianya akan muncul bertolak, berlepas seperti sebuah keretapi yang telah ditetapkan perjalanan dan berhenti diperhentian. Tiada siapa yang boleh mengawalnya kerana keretapi ini tidak berpemandu.
Tugas kita ialah untuk sama-sama menaiki keretapi teknologi ini supaya kita tidak ketinggalan keseorangan di perhentian itu.
Bagaimanapun selaku rakan bersama, pihak kami akan bersama-sama memastikan yang pihak rakan kongsi akan sentiasa melunsur bersama-sama dalam garismasa teknologi tersebut.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,
Ucapan saya sebenarnya bukan ucapan untuk mengakhiri seminar ini tetapi ucapan saya adalah permulaan pembelajaran yang berterusan seperti kata pepatah Bahas Inggeris “This is the beginning of the end”
Harapan kami supaya pertalian perkongsian teknologi ini dapat diteruskan tanpa penghujungnya.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,
Kami akan berasa berbesar hati apabila penerapan teknologi interaktif dapat digunapakai secara menyeluruh di semua stesen-stesen radio dan rancangan TV di bawah naungan RTM. Kami berharap DAPAT akan sentiasa dapat dilihat oleh RTM sebagai syarikat yang sentiasa memberikan nilai yang berguna kepada pertalian pintar ini bertepatan dengan misi kami iaitu sentiasa memberi sesuatu yang berguna kepada pengguna ataupun di dalam Bahasa Inggerisnya, “Real Useful Stuff”
Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,
Dengan berakhirnya ucapan ini tidak bermakna akan berakhir perjuangan kami. Di sini saya juga ingin mengingati anda semua bahawa wakil pihak DAPAT akan sentiasa bersama anda setiap pagi di stesen-stesen radio RTM tidak kira banjir atau gerhana, hujan atau salji, gempa atau tsunami. Ingat interaktif ingatlah DAPAT.
Oleh yang demikian saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kerana diberi kepercayaan mengelolakan dan menaja program ini. Di sini saya juga ingin menyatakan bahawa gunalah kemudahan DAPAT sebagai teknik berinteraksi di dalam apa-apa rancangan serta tugasan yang akan dihasilkan bagi memenuhi kehendak interaktif semasa pada bila-bila masa sahaja dalam menjadikan radio RTM interaktif.
Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, saya berharap agar stesen-stesen radio RTM menggunakan sistem interaktif ini secara menyeluruh agar keseragaman dapat dicapai dalam merealisasikan RTM sebagai stesen unggul dalam dunia penggunaaan interaktiviti.
Sekian terima kasih.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment